03 June 2011

Dalam salam pun ada aura positif



Assalamualaikum warahmatullah.
Tidak pernah jemu mendoakan kalian dalam keadaan sihat sejahtera. Salam itu satu doa bukan? Doa untuk kesejahteraan. Jadi kalian juga jangan pernah jemu untuk menyebarkan salam. Penyebaran salam itu laksana penyebaran virus. Sekali dihulurkan, berkali-kali rasa terkesan.

Oh, panjang pula muqaddimah entri ini. Sengaja. Sudah lama tidak menyuntik isu salam. Kadang-kadang bila terlalu lama ditinggalkan, lidah akan janggal untuk memulakan. Memang tidak pada anda, tapi ya pada saya. Pernah dahulu, rasa kekok untuk memulakan salam. Lebih tegar menyapa teman dengan 'Hai' dan 'Hello' segala. Paling mengada-ngada, saya menyapa dengan 'wassup'. Itu memang tahap lidah celup mat salleh.

[Dan apabila diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah dengan cara yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama) -- An-nisa' 4:86. Penghargaan gambar di sini.]

Terlalu banyak menelan budaya barat, beginilah jadinya. Malu dengan diri sendiri, yang tidak pernah cuba mengerti. Cuba mengerti makna salam. Tapi itu dahulu. Saya pernah ada era jahiliyah saya sendiri. Saya bukan terus lahir hingga menjadi sebegini, cuba mengamalkan Islam sebagai cara hidup sepenuhnya. Bila Islam itu sebagai cara hidup, apa yang dibuat, semua kembali pada Allah.

Ya, saya tahu. Mungkin ada yang sedikit jelik dengan tingkah saya waktu zaman hitam dahulu. Lagak manusia lupa dunia. Tapi saya cuba sedaya upaya. Sedaya upaya berubah kerana Allah. Sedikit demi sedikit. Dan perubahan itu hanya bermula dengan lafaz salam. Kadang-kadang kita tidak perasan yang salam itu punca seseorang berubah. Berubah ke arah yang lebih baik.

[Salam, imarahkan dan terus imarah. Sebarkan dan terus sebar. Dengan cara itu kasih sayang terus mekar. Penghargaan gambar di sini.]

Saya lebih senang menjadikan salam itu sebagai cara menyebarkan kasih sayang. Oh, jangan geli pula. Maksud saya begini, salam itu sebagai tanda saya sayang dengan orang sekeliling saya. Sayang dengan teman-teman saya. Sayang dengan keluarga saya. Pendek kata sayang. Bukan kah dalam salam terkandung doa? Sebagai tanda saya sayang, saya doakan kesejahteraan orang sekeliling saya. Bagi golongan ajnabi atau mudah cerita kaum adam, jangan salah faham pula. Saya letak sayang-sayang begini, nanti ada yang mahu bilang saya gatal. Habis penuh kotak komen saya dengan perkataan gatal nanti. Ketawa.

[Pemberian. Ia bukan sebanyak mana sesuatu itu dihulurkan, tapi ia tentang sebanyak mana kasih sayang yang ada dalam setiap pemberian. Kalau dalam salam; makin banyak salam, makin banyak sayang. Penghargaan gambar di sini.]

Salam itu banyak barakahnya. Bukan setakat doa dan kasih sayang. Pernah dahulu, teman saya bilang ia satu cara merapatkan ukhwah. Itu pun boleh. Pendek kata semua nya tentang kebaikan. Salam dan kebaikan. Salam dan doa. Salam dan kasih sayang. Salam dan ukhwah. Oh, banyak nya aura positif dalam salam!


p/s : Saya ambil semester pendek. Jadi, sudah seminggu duduk menumpang di rumah sewa seorang teman. Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan Allah. Moga Allah permudahkan urusan teman-teman saya yang tidak pernah jemu membantu. Urusan anda juga wahai pembaca, moga dipermudahkan Allah.

p/s lagi : Saya seperti ingat-ingat lupa hadith tentang pahala salam. Siapa tahu, harap boleh kongsi di sini ya. Senyum.

2 comments:

Nazihah@Jiha said...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ya Nusrah ^^,saya komen dulu..

Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w. dan berkata,
‘Assalamualaikum’. Maka Rasulullah menjawab salam kemudian dia duduk.
Maka Rasulullah berkata sepuluh pahala kemudian datang yang lain memberi
salam dengan berkata ‘Assalamualaikum warahmatullah’, lalu Rasulullah jawab
salam tadi, dan berkata dua puluh pahala. Kemudian datang yang ketiga terus
berkata ‘Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh’. Rasulullah pun menjawab
salam tadi dan terus duduk, maka Rasulullah berkata tiga puluh pahala.
(Riwayat Oleh Abu Daud Tarmizi: Hadis Hasan)

adakah itu hadisnya?
*jika ya, anggukkan kepala,jika tidak..geleng dan terus geleng kepala...hik2

Nusrah membuka minda pembaca untuk menghayati aura positif dalam salam sebenarnya,mgkn ada yg merasa ia cuma biasa tp, sbnrnya luar biasa!^^

semoga dipermudahkan segala urusan,insyaAllah..;)

nusrah said...

@Nazihah@Jiha

ya, 10 markah.wink2! thanks jiha! ;)

ada lg satu hadith tentang pahala mberi salam lebih byk drpd yg mjawab salam.sy tak pasti ia sahih atau tidak.

insyaAllah, moga Allah permudahkan urusan awak juga ;)